Sunday 10 January 2016

TERINDAH BUATMU 13

Juliana Nabilla bengang. Mesin ATM dihadapannya dihentak sedikit. Sebentar tadi, dia memeriksa akaun banknya dan didapati abangnya masih belum memasukkan duit yang diminta. Rasa mahu dihamun abangnya itu kalau berada di depan mata. Niatnya untuk berhibur bersama kawan-kawannya pudar.
Langkahnya diatur menuju ke tempat yang agak jauh dari kawan-kawannya. Handphonenya dikeluarkan lalu dia segera mendail nombor rumah makcunya. Kebetulan abangnya yang mengangkat panggilan tersebut lalu segera dihamburkan kemarahannya.
“Wei sial! Kenapa ko tak masukkan duit kat aku lagi ha?”
“Kenapa bahasa kasar sangat ni Jue..” Firas berkata lembut. Dia tahu adiknya sedang memarahinya kerana belum memasukkan duit ke dalam akaunnya.
“Ko tak payah nak baik sangat. Aku tanya, kenapa kau tak masukkan duit lagi. Bukan aku nak dengar kau membebel..” Juliana berasa rimas dengan abangnya walau hanya sepatah nasihat yang diberikan.
“Abang minta maaf Jue. Abang tak sihat ni. Nanti abang da sihat sikit, abang masukkan ya..” Firas terus memujuk lembut adiknya itu.
“Ah, kau tak payah nak berlakon. Aku tau, kejap lagi duit tu dah ada dalam akaun aku. Kalau tak jangan harap aku nak jumpa kau lagi..” Jue terus meletakkan telefon tanpa sempat Firas berkata apa-apa.
Dia tak mahu dengar lagi suara Firas. Dia benci mendengar suara itu, dia benci melihat muka Firas, muka orang yang telah membunuh ibu dan ayahnya. Dia bencikan Firas. Macam-macam cara telah dilakukan Firas untuk memujuk dirinya, namun semua itu langsung tidak bererti baginya. Hatinya telah tertutup untuk menerima semua kebaikan yang Firas buat untuk dirinya.
Langkahnya segera diatur menuju ke arah kawan-kawannya yang berada di seberang jalan. Tanpa menoleh kiri dan kanan, dengan bersahaja dia melintas jalan tersebut. Tersentap jantungnya apabila mendengar bunyi brek yang sungguh kuat. Dia terkaku melihat sebuah kereta hampir melanggarnya.
“Woi buta ke! Melintas tu tak reti tengok kira kanan ke ha?” pemandu kereta tersebut keluar sambil membuka cermin mata hitamnya  lalu segera memarahinya.
“Aku yang buta ke ko yang tak geti drive?” Juliana membalas kata-kata itu lantas mengangkat mukanya mahu melihat siapa gerangan manusia yang berani menghamun dirinya.
 Terkedu dia melihat wajah lelaki itu. Seakan bidadara yang turun dari kayangan. Handsome gila dengan wajah Chinese look yang membuatkan hatinya terawang-awang melihatnya.



“Cik adik, awak tu perempuan. Bahasa cantiklah sikit..” tersentak Juliana apabila ditegur sedemikian rupa oleh pemuda itu. Dia pantas menundukkan wajahnya yang terasa panas menahan malu.
Lantas dia berundur sedikit kebelakang bagi membolehkan pemuda itu berlalu. Entah kenapa dia tidak mampu untuk membalas kata-kata lelaki itu sedangkan selama ini dia pantang ditegur, pasti akan melenting tak tentu pasal.
Pemuda tersebut hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya melihat keletah Juliana lalu menyarung semula cermin matanya sambil masuk semula ke dalam kereta dan terus berlalu.
Setelah kereta pemuda tersebut berlalu, baru dia dengan hati-hati melintas jalan.
“Siapa tu Bella?” Amira bertanya sebaik dia sampai ditempat kawan-kawannya lepak.
“Entah. Aku pun tak kenal..” Juliana hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“So, camna ngan plan kita?” Hanis bertanya pula.
“Aku rasa aku tak join korang kot. Aku rasa tak sedap badan pulak lah..” Juliana segera meminta diri meninggalkan kawan-kawannya terpinga-pinga.
Yang sebenarnya hatinya masih terbuai-buai melihat lelaki chinese look tadi. Jadi, dia malas nak join aktiviti tak berfaedah kawan-kawannya itu. Apalagi kalau bukan menghabiskan duit bershopping. Lagipun dia bukannya banyak duit. Abangnya masih belum memasukkan duit ke dalam akaunnya sekaligus menghalangnya untuk turut serta dengan kawan-kawanya itu.
Mengingati abangnya membuatkan hatinya sakit. Dia cukup marah apabila abangnya tidak mengotakan janjinya untuk memasukkan duit.

Dulu sewaktu dia mula-mula melangkah ke alam universiti ini, abangnya telah berpesan segera maklumkan kepada abangnya kalau ada apa-apa yang kurang. Dia tahu abangnya berkerja keras mencari duit untuk menyara dirinya. Namun semua itu tidak bernilai di matanya. Yang dia tahu abangnya adalah pembunuh ibu dan ayahnya. Sampai bila-bila dia tak akan memaafkan abangnya itu.